Solat Asar ku tunaikan lewat hari ini. Seorang diri menyusun
langkah ke surau bertemankan sinaran matahari yang perlahan mula jatuh ke
barat, suasananya hening sekali. Sayu tiba-tiba. Usai solat, seperti biasa tangan ku tadahkan mengahadap Ilahi,
memohon satu per satu daripadaNya. Keampunan ku pinta bukan sahaja buat diriku
malah untuk setiap insan yang ku kenal dan saudara seIslamku. Sampai masa nama
tok ayah dan maktok meniti bibir, air jernih mula menitis syahdu menuruni pipi…
Sebak… Sedar kedatangan Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi akan terasa
kekurangannya.
Ramadhan yang lepas aku masih punya tok ayah dan maktok.
Walaupun ketika itu kedua-duanya sudah sakit dan uzur. Hanya mampu terbaring
dan bertatih perlahan, itu sudah cukup. Cukup melegakan hati melihat keduanya
di depan mata. Rasa cukup masih punya mereka memanggil-manggil. Rasa cukup
masih punya mereka bertanya khabar, masih punya mereka menunggu kepulangan kami
tiap hujung minggu berbuka puasa bersama dan masih punya mereka untuk disuapkan
makanan yang kami bawa.
Acap kali ke terdengar, “Ramadhan kali ini, hayatilah
sepenuhnya, kerna mungkin Ramadhan akan datang tidak sama lagi. Entah sempat
entahkan tidak”. Iya, memang benar,
belum pun tiba Ramadhan aku sudah terasa kekurangnya berbanding tahun lepas.
Besar sekali kekurangan itu. Kekurang yang tak mungkin dipenuhi kembali.
Tahun sebelumnya, Tok ayah dan maktok
masih punya kudrat bersama kami sekelurga ke masjid bersolat teraweh bersama.
Bersama maktok solat hanya di tingkat
bawah. Sakit lutut katanya. Berjalan juga perlahan. Tok ayah masih mampu
bergurau senda melakar jenaka dengan anak cucu. Tapi, setahun kemudian, kala
Ramdhan maktok hanya mampu bertatih perlahan, tok ayah pula hanya mampu
terbaring di atas katil, tiada lagi kudrat untuk bangun sekalipun hanya
duduk. Ketara sekali . Sedang berbuka,
sesekali menjenguk ke dalam bilik. Tidurkah dia? Hendak minum air kah dia ?
Sakitkah dia ?
Seiring itu, maktok masih selera makan kala ramai bersama anak cucu. Memerhati kami makan, selera katanya. Selepas berbuka aku akan baring sebelah tok ayah, bercakap dengannya. Bergilir-gilir kami menemani tok ayah. Sayu hati jika lihat tok ayah keseorangan terbaring di atas katil di dalam bilik. Lantas suasana itu aku elakkan. Ada kala kami semua hanya duduk dan bersembang di dalam bilik itu. Cerita itu dan ini, maktok masih boleh berceloteh, tak kurang juga tok ayah yang menyelit kata-kata dalam bicara kami.
Seiring itu, maktok masih selera makan kala ramai bersama anak cucu. Memerhati kami makan, selera katanya. Selepas berbuka aku akan baring sebelah tok ayah, bercakap dengannya. Bergilir-gilir kami menemani tok ayah. Sayu hati jika lihat tok ayah keseorangan terbaring di atas katil di dalam bilik. Lantas suasana itu aku elakkan. Ada kala kami semua hanya duduk dan bersembang di dalam bilik itu. Cerita itu dan ini, maktok masih boleh berceloteh, tak kurang juga tok ayah yang menyelit kata-kata dalam bicara kami.
Tapi berbeza suansananya kini. Kala sampai di rumah itu,
tiada lagi yang menyambut. Kala sampai di hadapan pintu rumah itu, tiada lagi
yang menerpa membuka pintu buat kami. Kala kaki melangkah masuk, terasa sayu.
Kini, bilik itu sepi, kosong dan tidak berpenghuni. Mereka sudah berpindah.
Berpindah alam. Tak terubat rindu di hati. Aku yakin bukan aku saja yang
meggalas bebanan rasa ini, tapi seluruh keluarga kami, anak menantu dan cucu
maktok dan tok ayah. Aku yakin itu.
Rindunya pada mereka mengarah kaki ke setiap pelusuk rumah
itu. Pertama sekali ke ruangan tamu utama. Di situ tempat berkumpul kami sekeluarga
setiap kali raya. Lengkap semuanya. Bersalam dan memohon ampun sesama kami.
Bayangan itu hilang, titisan air mata pula menerpa. Ku toleh pula ke dada
dinding konkrit yang masih kukuh. Terlekap indah gambar-gambar maktok dan tok
ayah. Budiman sekali senyuman tok ayah. Ramah dan mesranya maktok tergambar di
senyuman beliau. Bukan satu, tapi banyak. Ku teliti pula gambar-gambar kecil
yang dikumpul tok ayah dalam almari kaca. Gambar anak-anak cucunya. Iya,kami.
Terlintas difikiran, mungkin ini yang
tok ayah lakukan kala rindukan kami yang tidak pulang, kala hanya mereka berdua
di rumah itu. Berjalan dan melihat
gambar – gambar yang disusunnya rapi dalam almari kaca itu. Mungkin terubat
rindu di hatinya. Sayu lagi hati ini menggambarkan keadaan itu. Rapinya rumah
itu kerana tok ayah yang rajin mengemas, meringankan bebanan maktok yang sering
sakit. Iya, mereka manis. Manis bersama dalam suka dan duka. Mereka akrab. Ke
mana sahaja pasti bersama. Takdir mereka juga dekat. Perginya tok ayah disusuli
maktok tidak lama kemudian. Meninggalkan kami dalam derita. Derita rindu yang
tak mungkin terubat. Pintaku semoga maktok dan tok ayah aman dan tenang di
sana.
“ Ya Allah, ampunilah dosa mereka, jauhilah merea dari azab
seksaan kubur dan api neraka Mu, redhailah mereka, berkatilah mereka di alam
barzakh sana, dan pertemukanlah meraka berdua dan kami semua di dalam Jannah Mu
di akhirat kelak. Aamiin, ya Rabbil a la min."
No comments:
Post a Comment